Selamat Pulang, Juita
i
selamat pulang, juita.
ini rumah kita,
ruangnya sederhana,
tetapi bertetangga baik,
oleh itu lebarnya sekampung.
kau akan besar di laman keliling
di bawah lindung mangga depan,
mengait jambu di musim hujan,
menjaga dan menyarung putik cempedak,
dan mengutip langsat luruh.
ii
di rumah ini, kau akan tau nanti,
bahawa kami inginkan kau bebas
kerana kebebasan itu lingkungan wujud
yang akan menumbuhkanmu,
memperpucukkan percaya,
berbunga menjadi benih baru.
kebebasan bermakna mempelajari tanggungjawab
yang datang dengan hak,
kebebasan membantu perasaan
seperti ia melahirkan fikiran.
iii
kebebasan itu pahat pada tangan tukang
warna pada pandangan
dan kata pada fikiran.
belajarlah jiwanya
supaya kau hidup bebas.
iv
kami inginkan kecantikan untukmu,
kerana kau perempuan,
tapi yang kami pohonkan
ialah kecantikan yang diamanatkan kebijaksanaan,
ditegakkan oleh keluasan hidup,
diarahkan oleh ilmu.
v
selamat pulang, juita
ini rumahmu.
kami akan luangkan ruang untukmu
aturkan hari kami
supaya kau menjadi mataharinya.
20 ogos 1981